PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 1,822 orang daripada 495 keluarga setakat pukul 5 petang ini, berbanding 2,193 mangsa yang direkodkan pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 29 PPS masih beroperasi di tujuh negeri.
Perak mencatat jumlah tertinggi dengan 11 PPS, diikuti Perlis dengan tujuh, Selangor empat, Pahang tiga dan Sarawak dua.
Sementara itu, masing-masing satu PPS masih beroperasi di Kelantan dan Sabah.
Keseluruhan mangsa banjir terdiri daripada 603 lelaki, 566 perempuan, 607 kanak-kanak, 47 bayi, 203 warga emas serta 38 orang kurang upaya (OKU).
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri sehingga malam ini.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk Pulau Pinang, beberapa daerah di Kedah seperti Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu serta Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Manjung.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala di Pahang melibatkan Lipis, Jerantut dan Maran. Selangor pula dijangka terkesan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Langat sementara Johor di Mersing dan Kota Tinggi.
Di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu.
Sabah pula dijangka mengalami cuaca buruk di kawasan Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain Pantai Barat.
Walaupun jumlah mangsa banjir semakin berkurangan, keadaan cuaca yang tidak menentu menuntut rakyat agar terus berwaspada terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai yang berisiko dilanda gelombang baharu.








