Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang dijangka dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat dilihat tidak akan membabitkan perubahan besar.
Sebaliknya tertumpu kepada kemasukan teknokrat serta penyusunan semula dalam kalangan menteri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berkata, ruang Perdana Menteri untuk melakukan rombakan besar adalah terhad kerana Kerajaan Perpaduan kini merangkumi 18 parti yang masing-masing perlu mengekalkan kuota dalam Kabinet.
Justeru, katanya sebarang perubahan ketara sukar dilakukan tanpa menjejaskan imbangan politik dalam kerajaan.
“Lebih ramai teknokrat atau profesional dijangka dibawa masuk, termasuk tokoh seperti Datuk Seri Amir atau Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sekiranya ada kekosongan kerusi senator.
“Langkah membawa masuk figura profesional penting untuk memperkukuh pentadbiran serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan Kabinet dan Kerajaan Madani ketika ini.
“Rombakan ini lebih kepada usaha memulihkan kepercayaan rakyat dan meningkatkan prestasi Jemaah Menteri, bukan perubahan drastik yang menggugat kestabilan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Azmi berkata, rombakan yang lebih ketara berpotensi berlaku dalam komponen Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR, kerana Anwar sebagai Presiden PKR dan Pengerusi PH mempunyai ruang lebih fleksibel membuat perubahan tanpa perlu berunding dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika banyak pertukaran berlaku, ia dijangka lebih tertumpu kepada Ahli Parlimen PKR kerana itu kawasan yang Perdana Menteri ada kawalan penuh,” ujarnya.
Katanya, perkembangan itu juga seiring jangkaan bahawa portfolio tertentu dalam PKR mungkin disusun semula bagi mengukuhkan imej kerajaan dan memastikan prestasi kementerian lebih seiring dengan agenda reformasi yang ditekankan Perdana Menteri.
Baca juga:








