Wanita PKR Sokong Dasar Hijab AirAsia, Cerminan Semangat MADANI

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan AirAsia yang membenarkan pramugari memakai hijab semasa bertugas, langkah yang disifatkan sebagai matang, progresif dan selari dengan usaha mewujudkan persekitaran kerja lebih inklusif.

Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Wanita PKR Pusat, Farahida Datuk Seri Fauzi berkata, dasar tersebut mengiktiraf hak individu serta menghormati kepelbagaian identiti wanita di tempat kerja tanpa menjejaskan profesionalisme.

“Keputusan ini mencerminkan budaya kerja yang berperikemanusiaan dan inklusif, di samping mengangkat maruah serta pilihan peribadi wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

Farahida berkata, hijab bukan sekadar simbol sebaliknya memberi ketenangan dan keyakinan kepada sebahagian wanita muslimah untuk berkhidmat dengan lebih selesa dan berfokus.

“Profesionalisme tidak pernah bercanggah dengan pegangan atau nilai peribadi.

“Wanita tidak seharusnya dipaksa memilih antara kerjaya dan keyakinan diri,” jelasnya.

Menurut beliau, daripada sudut Islam, kelonggaran tersebut selari dengan nilai rahmah serta prinsip Maqasid Syariah termasuk hifz al-‘ird (memelihara maruah) dan hifz al-din (memelihara agama).

Farahida turut melihat langkah AirAsia itu sebagai selari dengan semangat Kerajaan MADANI yang menekankan nilai ihsan, keterangkuman dan saling menghormati di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berharap pendekatan berkenaan menjadi contoh kepada organisasi lain agar dasar tempat kerja lebih berpaksikan maruah dan kebajikan pekerja, sekali gus meningkatkan produktiviti serta imej majikan progresif dalam landskap korporat negara.

Anda Mungkin Berminat