SPR Sah Kekosongan Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengesahan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya pada Selasa.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan kedua-dua kerusi tersebut perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengesahan.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK DUN N.58 Lamag,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas SPR dijadualkan berlangsung pada 16 Disember 2025 dan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.

Menurutnya, antara perkara yang akan dibincangkan termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan operasi pilihan raya.

SPR turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat selesai bagi mengumumkan keputusan rasmi berkaitan PRK tersebut.

Allahyarham Bung Moktar Radin merupakan tokoh politik Sabah yang lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag.

Sepanjang kerjaya politiknya, beliau pernah menganggotai Jemaah Menteri Persekutuan serta pentadbiran kerajaan negeri, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar kepada dunia politik tanah air.

Anda Mungkin Berminat