PETALING JAYA: Malaysia menyuarakan kemarahan dan kecaman keras terhadap tindakan tentera Israel yang menceroboh premis Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur pada 8 Disember lalu.
Ia merupakan satu insiden yang turut melibatkan rampasan harta benda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penurunan bendera rasmi PBB.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Malaysia menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram tentera Israel menceroboh premis Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur, termasuk merampas harta benda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menurunkan bendera PBB pada 8 Disember 2025,” kata Wisma Putra.
Kenyataan itu turut berkata, tindakan Israel melanggar Piagam PBB, Konvensyen PBB Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946 serta beberapa resolusi PBB yang melindungi petugas dan operasi kemanusiaan badan dunia tersebut.
Malaysia merujuk kepada Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 22 Oktober 2025 sebagai bukti kukuh terhadap pelanggaran tersebut.
UNRWA, yang telah beroperasi sejak lebih tujuh dekad, dianggap sebagai nadi kehidupan bagi jutaan rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Malaysia menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk menyekat, menafikan mandat atau membubarkan operasi UNRWA adalah tidak sah dan tidak boleh diterima.
“UNRWA merupakan talian hayat untuk jutaan rakyat Palestin di Wilayah Palestin Yang Diduduki dan pelarian Palestin dan Malaysia menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk menghalang, menafikan mandat atau membubarkan operasi agensi tersebut menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.
Sejak penubuhannya, UNRWA telah membantu lebih daripada 5.9 juta pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah dengan menyediakan perkhidmatan penting dalam bidang pendidikan, kesihatan dan bantuan kemanusiaan.
“Malaysia menyeru agar masyarakat antarabangsa mengenakan akauntabiliti terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa secara berterusan,” kata kenyataan itu lagi.








