‘Perbalahan Ibu Bapa Bukan Teladan Baik Buat Pelajar’ – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberi jaminan bahawa beliau akan mengambil pendekatan menyeluruh bagi menyelesaikan kemelut yang melibatkan persatuan ibu bapa pelajar MRSM, dikenali sebagai MUAFAKAT, yang kini mencetuskan perbalahan terbuka hingga ke tahap tindakan undang-undang.

“Ya pastinya saya akan mendengar daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya bukanlah hakim untuk mengadili, cuma mahu mencari jalan penyelesaian terbaik selain menjernihkan isu ini yang amat tidak sihat sehingga ke peringkat saman menyaman,” katanya dalam satu ruangan komen di media sosial.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan psikologi yang mungkin dialami oleh pelajar akibat konflik terbuka antara ibu bapa mereka.

“Apatah lagi perbalahan antara ibubapa pelajar di khalayak umum pastinya akan memberi kesan psikologi kepada anak-anak pelajar juga yang amat tidak baik untuk diteladani,” katanya.

Dalam usaha meredakan ketegangan, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa beliau akan meminta pengurusan MARA untuk campur tangan secara rasmi khususnya dalam aspek pengurusan kewangan MUAFAKAT yang menjadi punca utama pertikaian.

“Saya juga akan minta pengurusan MARA untuk melakukan intervensi terhadap keputusan persatuan ibubapa (dalam istilah MRSM ialah MUAFAKAT) terutamanya yang melibatkan kewangan supaya lebih telus dan tiada sebarang penyimpangan yang boleh mencetuskam perbalahan dikalangan ibubapa pelajar,” katanya.

Kenyataan ini hadir selepas tularnya perdebatan awam melibatkan selebriti Rita Rudaini dan beberapa pihak lain yang dikaitkan dengan pengurusan dana MUAFAKAT.

Anda Mungkin Berminat