JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas keberangkatan baginda ke Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru, yang disifatkan sebagai satu tahap kebanggaan nasional.
Menurut Anwar, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru yang siap dibina kini dianggap sebagai model pembangunan nasional.
“…kita boleh jadikan ini sebagai suatu, sekali lagi model pembangunan yang baik dan hebat.
“Bukan sahaja bagi negeri Johor bagi negara Malaysia sepenuhnya dan kita manfaatkan kemudahan-kemudahan ini supaya menjana pertumbuhan tambahan dan mengangkat martabat negara kita,” katanya.
Anwar berkata, Johor kini muncul sebagai negeri gagah dari segi ekonomi dengan catatan pelaburan yang semakin meningkat dan dijangka mencecah RM100 bilion tahun ini.
“Projek ini sebenarnya akan menjadi satu lonjakan tambahan, nampak Johor sudah tercatat sekarang sebagai satu negeri yang gagah dari segi ekonominya dengan catatan pelaburan.
“… mungkin mencatat RM100 bilion,” katanya.

Beliau turut menyebut kejayaan Maharani Freeport yang mengatasi prestasi Pulau Pinang dan Selangor, sambil menegaskan Johor mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
Anwar berkata, pertemuan dua hala bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, di Singapura minggu lalu, yang membincangkan langkah memperkukuh Zon Ekonomi Johor–Singapura sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
“Memacu ekonomi itu merupakan salah satu keutamaan dalam pembangunan negara.
“Jadi kita gunakan jalinan kerjasama dan hubungan baik dua negara ini untuk memastikan Zon Ekonomi Johor-Singapura ini sebagai ‘catalyst’ untuk mengangkat ekonomi Johor dan dengan sendirinya seiring mengangkat ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri menekankan cabaran utama ialah memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat di semua peringkat termasuk peniaga kecil di kota-kota kecil.
“…usaha Kerajaan Persekutuan dan jentera Kementerian bersama Kerajaan Negeri ialah memastikan pembangunan stesen-stesen di kota-kota kecil itu dapat dipesatkan dan dapat memastikan pengagihan supaya penyertaan rakyat termasuk peniaga kecil itu terjamin,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan Ekonomi MADANI memberi kelainan kerana menekankan keprihatinan, campur tangan kerajaan dan kerjasama swasta.
“…pembangunan itu mesti dilonjakkan tentunya satu tingkat yang membanggakan tetapi dalam masa yang sama ia memerlukan suatu keprihatinan, campur tangan, moral ‘suasion’ dan juga ‘hidden hand’ daripada jentera Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta termasuk yang besar, misalnya hari ini kita lihat SIPP-YTL…” katanya.
Anwar turut menekankan pendekatan baharu kerajaan yang mendengar pandangan negeri dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan Negara.
“…inilah kali pertama dalam sejarah di mana pimpinan pusat turun ke negeri-negeri, ke semua negeri mendengar pandangan, cadangan, teguran dari pimpinan negeri dan dari situlah kita sesuaikan beberapa program keutamaan…” katanya lagi.
Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai bentuk ‘participatory democracy’ yang menekankan semangat musyawarah.








