PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa penurunan sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini adalah tanggungjawab bersama semua parti anggota Pakatan Harapan (PH).
Dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional pada Rabu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu mencadangkan agar satu ‘Task Force’ dibentuk oleh PH bagi menganalisa punca kemerosotan undi dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.
“AMANAH berpandangan penurunan sokongan pengundi Cina dalam PRN Sabah di kerusi-kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan baru-baru ini adalah masalah dan tanggungjawab bersama semua parti anggota Pakatan Harapan.
“Oleh itu AMANAH mencadangkan supaya satu ‘Task Force’ dibentuk oleh Pakatan Harapan untuk menganalisa punca-punca kemerosotan undi tersebut dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil oleh Pakatan Harapan untuk menanganinya,” katanya.
Beliau berkata, AMANAH turut memperakui kejayaan Kerajaan MADANI melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, namun mengakui pelaksanaan tersebut masih gagal mendapatkan sokongan rakyat sepenuhnya.
Bagi mengatasi cabaran itu Khalid berkata, usaha penerangan perlu dipertingkatkan bukan sahaja melalui agensi kerajaan tetapi juga NGO dan jentera penerangan parti-parti dalam Gabungan Perpaduan.
“Semua entiti komunikasi Pakatan Harapan perlu diperkasakan dan diselaraskan di bawah satu badan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan.
“Proses libat urus ini dapat membantu kerajaan untuk memahami kehendak rakyat dalam sesuatu persoalan dan mengelak kesan yang tidak diingini terhasil dengan dilaksanakan sesuatu inisiatif.
“Pada masa yang sama, libat urus ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk memahami hasrat dan matlamat kerajaan dalam menggubal inisiatif berkenaan,” katanya.
Terdahulu, pada PRN Sabah yang berlangsung bulan lalu, PH hanya memenangi satu kerusi sahaja di DUN Melalap.








