Keputusan Tarik Rayuan Kes Rosmah Ikut Lunas Undang-Undang – PM

PETALING JAYA: Keputusan pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut lunas undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan itu dibuat selepas Peguam Negara menilai bahawa asas kes berkenaan adalah lemah dan tiada keperluan untuk meneruskan rayuan.

“Saya nak jelaskan, kes mahkamah ini bukan kerana dia penyokong kita atau seteru kita, tetapi ikut lunas jalur hukum.

“Bila didakwa pada 2018, proses berjalan dan hakim menilai kes itu sangat lemah. Peguam Negara kemudiannya meneliti semula dan membuat keputusan tidak merayu,” katanya dipetik Harian Metro pada Jumaat.

Beliau menegaskan, keputusan pendakwaan itu tidak menjejaskan kes lain membabitkan Rosmah, yang masih berjalan seperti biasa.

“Kes lain tetap berjalan. Kita harus ingat prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti dipelihara. Jangan kerana tidak senang dengan satu dua kelompok, tindakan diambil ikut selera politik,” tegas Anwar.

Selasa lalu, pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM7 juta serta lima kes gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Notis Penarikan Balik Rayuan bertarikh 9 Disember, Pendakwa Raya memaklumkan tidak berhasrat meneruskan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tindakan ini menandakan kes itu berakhir mengikut prosedur perundangan, walaupun perjalanan kes lain yang membabitkan Rosmah akan diteruskan mengikut proses mahkamah sedia ada.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat