KPT tegaskan keputusan UEC tidak boleh dibuat atas tekanan politik

PUTRAJAYA: Segala cadangan berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan tidak boleh dibuat atas tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa Kerajaan Madani kekal komited mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu, yang merupakan prinsip asas negara dan wajib dipatuhi oleh semua aliran pendidikan tanpa pengecualian.

Beliau turut menekankan bahawa, seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua aliran pendidikan termasuk sekolah Cina, Tamil, Arab, Inggeris serta sekolah antarabangsa mesti memastikan penguasaan kukuh Bahasa Melayu, selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri serta perpaduan.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kami akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

“Penekanan akan diteruskan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zambry turut menyatakan bahawa usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan akan berjalan seiring dengan pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa sukuan, bagi melahirkan bakat nasional yang mempunyai keupayaan multilingualisme, seimbang dan berakar pada nilai kenegaraan.

“Kita mahu memastikan graduan negara bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi juga mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global tanpa mengabaikan identiti kebangsaan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat