Guru sudah penat, pendidikan kita tenat, patutkah murid dihitung atas kertas jawapan?

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | Guru sudah penat, pendidikan kita tenat, patutkah murid dihitung atas kertas jawapan?satu soalan yang masih berlegar di kedai kopi, di grup WhatsApp ibu bapa, malah dalam bilik guru, isunya wajar atau tidak UPSR dan PT3 dikembalikan semula?

Sejak kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan beberapa tahun lalu, sistem pendidikan negara seolah-olah sedang mencari semula “kompas”nya.

Kita mahu bergerak ke arah pembelajaran holistik, tetapi dalam masa yang sama, kehilangan arah penanda aras nasional membuatkan ramai resah, seolah-olah kapal besar pendidikan ini sedang berlayar tanpa peta.

Nah! Sekarang perdebatan makin panas. Adakah peperiksaan bukan lagi ukuran  atau mungkin masih perlu?

Sedang isu utama seperti beban tugas guru, yang saban hari kita dihadapkan dengan isu guru memilih bersara awal kerana tekanan kerja.

Atau isu murid yang terpaksa memikul beban beg sekolah yang lebih muatan biarpun sudah bertukar puluhan menteri malah perdana menteri dan isu ini lali dibawa arus begitu sahaja.

Natijahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menjelaskan bahawa UPSR dan PT3 tidak lagi relevan dalam konteks baharu pendidikan.

Menteri Pendidikan sendiri menegaskan bahawa fokus kini bukan lagi pada kertas peperiksaan, tetapi kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang menilai pelajar secara menyeluruh bukan hanya otak, tetapi juga sahsiah, emosi dan bakat.

Itu ideal yang mulia. Namun, idealisme tanpa realiti kadangkala seperti rumah cantik tanpa tiang kukuh.

Memetik Dr Anuar Ahmad, pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam satu wawancara media, mengingatkan bahawa sistem penilaian semasa masih kabur hala tujunya.

Beliau menyarankan supaya UPSR dan PT3 dipertimbangkan semula, “bukan kerana nostalgia, tetapi kerana kita perlukan sistem yang boleh mengukur kemahiran asas secara adil dan menyeluruh.”

Dalam bahasa mudah, kalau tiada ukuran nasional, bagaimana kita tahu anak-anak kita benar-benar boleh membaca, menulis dan mengira?

Ada benarnya juga. Ramai guru yang mengakui  selepas pemansuhan UPSR dan PT3, motivasi pelajar menurun.

Tiada lagi ‘checkpoint’ untuk memaksa murid berusaha. “Anak saya belajar ikut mood”.

“Kalau dulu, sekurang-kurangnya dia tahu ada UPSR menunggu. Sekarang, susah nak cakap kenapa perlu belajar.”

Itu antara pendapat- pendapat ibu bapa yang cintakan segmen peperiksaan.

Ironinya, peperiksaan yang dulunya ditakuti, kini dirindui.

Sekolah mengejar “ranking”

Bagi ibu bapa yang menolak peperiksaan pula berhujah “Tetapi bukankah kita sudah penat dengan sistem hafalan dan tekanan?

Dan tentunya, sisi kontra hujah ini juga tidak boleh ditolak mentah.

Negara seperti Finland, Norway dan Sweden antara sistem pendidikan terbaik dunia  tidak bergantung pada peperiksaan berpusat.

Di Finland, tiada peperiksaan besar sebelum umur 16 tahun. Guru diberi autonomi penuh menilai pelajar berdasarkan kemajuan sebenar, bukan skor di atas kertas.

Di Norway, “ujian nasional” hanya dijalankan untuk memantau sistem, bukan menghukum pelajar.

Di Sweden pula, tumpuan lebih kepada membina minat terhadap ilmu, bukan ketakutan terhadap kegagalan.

Kajian antarabangsa juga menunjukkan bahawa peperiksaan berpusat di peringkat rendah tidak semestinya meningkatkan kualiti pembelajaran.

Ia hanya menjadikan murid lebih pandai menghafal, bukan berfikir.

Dan dalam konteks Malaysia, kita tahu budaya peperiksaan sering disalah guna.

Sekolah mengejar “ranking”, guru menanda tanpa jiwa, ibu bapa menghantar anak ke pusat tuisyen seawal darjah dua.

Maka, jika kita mengembalikan UPSR dan PT3 tanpa reformasi struktur dan sikap, kita hanya kembali ke zaman silam yang penuh tekanan dan angka.

Hakikat yang perlu disedari ialah, masalah sebenar bukan ada atau tiada peperiksaan tetapi sistem yang longgar

Masalah pendidikan kita tidak berpunca semata-mata daripada pemansuhan peperiksaan.

Ia lebih dalam daripada itu.

Kelas terlalu padat. Guru dibebankan dengan kerja bukan pengajaran.

Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah(PBD) pula tidak seragam ada guru yang faham, ada yang sekadar “isi borang”.

Apabila sistem tidak stabil, apa jua bentuk penilaian pun tidak akan berfungsi dengan baik.

Mengembalikan UPSR dan PT3 tanpa memperkukuh asas pelaksanaan, ibarat mengecat dinding rumah yang masih retak.

Namun begitu, menolak terus idea peperiksaan nasional juga tidak wajar. Malaysia bukan Finland.

Kita masyarakat majmuk dengan jurang pendidikan yang besar antara bandar dan luar bandar.

Peperiksaan berperanan sebagai penanda aras kebangsaan, memastikan setiap murid tidak kira di Baling atau Bangsar  mencapai tahap minimum penguasaan asas.

Mencari jalan tengah

Justeru, barangkali kita tidak perlu kembali kepada UPSR dan PT3 dalam bentuk asalnya.

Apa yang kita perlukan adalah sistem penilaian hibrid  gabungan pentaksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan kebangsaan berskala kecil.

Biar peperiksaan itu ringan, tidak menekan, tetapi cukup untuk menjadi cermin diri.

Biar ia menilai kefahaman sebenar, bukan hafalan semata.

Biar markahnya tidak digunakan untuk ranking sekolah, tetapi untuk memperbaiki pembelajaran murid.

Sebelum itu, kita wajib memperkukuh latihan guru, menstabilkan kurikulum, memperkecilkan saiz kelas, dan memastikan teknologi serta bahan bantu belajar sampai ke semua sekolah.

Barulah penilaian sama ada peperiksaan atau pentaksiran menjadi alat kemajuan, bukan beban tekanan.

Sejujurnya, saya bukan pecinta peperiksaan, tetapi saya juga tidak mempercayai pendidikan tanpa ukuran.

UPSR dan PT3, dalam bentuk baharu yang lebih manusiawi, boleh menjadi jambatan antara idealisme dan realiti.

Yang penting, kita jangan terperangkap dengan nostalgia atau retorik sebaliknya membina sistem yang benar-benar memahami manusia di sebalik angka.

Pendidikan bukan tentang kertas jawapan, tetapi tentang menyiapkan anak bangsa menghadapi dunia yang lebih mencabar daripada sekadar soalan objektif.

Jika kita berjaya memahami itu, maka sama ada nama peperiksaan UPSR, PT3 atau apa pun nanti, ia tidak lagi menjadi beban tetapi cermin kepada kemajuan sebenar bangsa kita.

Tulisan ini, saya sengaja tidak memetik mana- mana teori pendidikan atau sosiologi sebagai pengukuh hujah.

Ditulis secara jujur, sebab pendidikan yang kita lalui sama ada melalui sistem burung kakak tua atau sebaliknya terlalu dekat dengan jasad dan roh kita.

Rujukan tulisan ini secara jujur melalui tiga peristiwa penting.

Yang pertama pengalaman menduduki peperiksaan Penilaian Darjah Lima tanpa ada kesedaran tentang kepentingannya, kerana kehidupan di luar sekolah lebih mencabar.

Apabila keputusan keluar, rakan-rakan yang tidak dicabar dalam kehidupan luar terpilih ke sekolah yang kasta lebih lengkap dari segi guru dan kitaran sekolah.

Sementara kita yang tidak cemerlang terhantar ke sekolah serba kekurangan guru dan kepakaran dan infrastruktur. Mujur kesedaran muncul dan bertatih perlahan-lahan menuju puncak menara gading.

Kedua pengalaman mengajar di sebuah kolej swasta, dengan penuh rasa tanggung jawab mengajar, akhirnya bila keputusan peperiksaan keluar hasilnya agak dan selalu mengecewakan.

Mujur ada tugasan berkumpulan dan individu yang selalu menjadi penyelamat untuk pelajar lulus dan berpeluang bergelar graduan.

Pelajar bukan tidak pandai tetapi gagal menterjemah dalam peperiksaan.

Yang ketiga lekat diingatan tatkala menonton filem Gila-Gila Remaja, lakonan Rosyam Nor memegang watak Remy.

Beliau ditahan polis kerana melakukan jenayah, rintihan Remy, “ Oh! Peperiksan”

Kesimpulannya, hidup jangan serius sangat, terutama anak-anak yang baharu mengecap alam persekolahan.

Biar mereka belajar dahulu 3M (membaca, menulis dan mengira) anak-anak sekecil itu jangan diasak dan dilanyak dengan silibus, latih tubi serta kelas tambahan yang memenatkan.

Bukan sahaja anak-anak yang penat, malah ibubapa juga kepenatan.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat