PETALING JAYA: KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan ucapan tahniah kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
Seri Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor dan penyokong tegar skuad Harimau Selatan yang sentiasa memberikan sokongan padu.
Sultan Ibrahim bertitah, kejayaan berkenaan bukan sahaja mengangkat martabat JDT tetapi juga menjadi pemangkin kepada prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang serta inspirasi kepada pembangunan bola sepak negara.
Terdahulu, perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan JDT tampil garang dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Sabah FC.







