PETALING JAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan pendaftaran automatik terhadap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial dengan jumlah pengguna berskala besar, melibatkan lebih 8 juta pengguna di Malaysia.
Dalam kenyataan media pada Isnin, BHEUU menyifatkan langkah tersebut sebagai signifikan dalam melengkapkan pelaksanaan serta memperkukuh matlamat utama Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
“Ianya dapat memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global.
“Pendekatan ini juga mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866, iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan memudaratkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan pendaftaran turut mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara.
Sehubungan itu, JPM menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan MCMC, kementerian, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan bagi memastikan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dilaksanakan secara berfasa, telus dan berkesan.
Mekanisme pelaksanaan akan turut dipantau melalui Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang ditubuhkan di bawah seliaan BHEUU.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia,” katanya.







