PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan inisiatif baharu dikenali sebagai Peruntukan Deeming (Deemed Licence) yang diumumkan pada Isnin.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyifatkan langkah tersebut sebagai permulaan penting dalam memperkukuh tadbir urus platform digital serta meningkatkan keselamatan dalam talian di negara ini.
“Ekosistem digital masa kini menuntut pendekatan pengawalseliaan yang lebih responsif terhadap ancaman seperti jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan ekstremisme, serta penyalahgunaan platform digital untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen bersama untuk melindungi rakyat Malaysia khususnya generasi muda, agar mereka kekal selamat dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.
Beliau berkata, PDRM turut menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi berkaitan melalui pendekatan ‘Whole of Government’.
Pendekatan itu katanya, diyakini dapat meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat serta mempercepatkan tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang siber.
Selain itu katanya, PDRM berikrar untuk kekal komited melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang semasa, di samping meningkatkan kesiapsiagaan agar kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan.
“PDRM yakin bahawa pelaksanaan rangka kerja baharu ini akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan serta penyedia platform digital.
“Langkah ini turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan terutama kanak-kanak dan keluarga terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar,” katanya.







