RM15.5 Bilion Dirampas Bukti Integriti Badan Penguatkuasaan – PM

PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa integriti badan penguatkuasaan negara kekal menjadi keutamaan kerajaan, melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam serta agensi berkaitan.

Beliau berkata, tanpa integriti mustahil nilai rampasan, lucut hak dan kutipan penalti mencecah RM15.5 bilion dapat dicapai, sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam sejarah negara.

“Jumlah ini menggambarkan sebelum ini wujud kelompongan dan kelonggaran.

“Kini tindakan lebih tegas membuahkan hasil,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara pada Selasa.

Menurut Perdana Menteri, SPRM merekodkan nilai lucut hak melebihi RM8 bilion, PDRM hampir RM4 bilion, Jabatan Kastam lebih RM2.5 bilion, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengutip penalti kira-kira RM1 bilion.

Bagaimanapun, beliau mengakui tindakan tegas terhadap perasuah besar sering berdepan persepsi negatif dan pembelaan politik, sedangkan pencapaian agensi penguatkuasaan jelas memberi pulangan besar kepada negara.

Mengulas isu kematian dalam tahanan, Anwar menegaskan siasatan telus tetap dijalankan.

Sejak penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 2024, sebanyak 57 kes direkodkan melibatkan pelbagai kaum dan warga asing, sekali gus menafikan dakwaan berat sebelah.

Beliau memberi jaminan bahawa kes berprofil tinggi termasuk kematian tiga suspek di Melaka, disiasat rapi tanpa kompromi dengan laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penjenayah tegar.

Beliau turut mengingatkan beberapa kes serangan terhadap anggota polis kebelakangan ini, sambil menekankan peranan IPCC sebagai saluran semak dan imbang demi memastikan keadilan serta kepercayaan rakyat.

Anda Mungkin Berminat