Pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Elak Penjenayah Jadi Wira

PARLIMEN | Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2026 bagi menutup sebarang kelompongan undang-undang yang boleh disalahgunakan oleh penjenayah atau perasuah untuk mengelak daripada dikenakan tindakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pindaan itu penting bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen yang bertindak demi kepentingan awam dengan penjenayah tegar yang cuba berselindung di sebalik perlindungan undang-undang selepas melakukan kesalahan serius.

Menurutnya, perlindungan kepada pemberi maklumat tidak wajar diberikan secara membuta tuli sehingga menjadikan perasuah atau penjenayah diangkat sebagai ‘wira’ hanya kerana membuat pendedahan selepas terlibat dalam perbuatan jenayah.

“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama ‘whistleblower’.

“Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, pagi ini, berhubung langkah kerajaan memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa serta ketirisan dalam agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan komited memastikan undang-undang perlindungan pemberi maklumat terus berfungsi melindungi individu yang berani tampil mendedahkan salah laku, namun pada masa sama tidak memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk memanipulasi undang-undang demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, usaha meminda akta berkenaan selari dengan agenda Kerajaan MADANI untuk memperkukuh integriti institusi, meningkatkan ketelusan serta memastikan tiada sesiapa pun terlepas daripada tindakan undang-undang atas alasan perlindungan yang disalah tafsir.

Anda Mungkin Berminat