KTMB Tambah Perkhidmatan ETS, Shuttle Timuran Mulai 1 Januari 2026

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperluas jaringan rel negara dengan penambahan perkhidmatan ETS dan Shuttle Timuran bermula 1 Januari 2026, sekali gus memperkukuh mobiliti awam di Semenanjung.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, empat perkhidmatan ETS tambahan akan diperkenalkan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral, menjadikan keseluruhan lapan perjalanan sehari di sektor Selatan.

Selain itu katanya, dua perkhidmatan sedia ada Padang Besar–Segamat–Padang Besar akan dilanjutkan sehingga ke JB Sentral, menyediakan akses terus dari Utara ke Johor Bahru.

Menurut beliau, langkah itu melengkapkan objektif Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru sebagai rangkaian rel berterusan yang menghubungkan ekonomi Utara dan Selatan.

“Bagi Pantai Timur, dua perkhidmatan baharu Shuttle Timuran laluan Gemas–Kuala Lipis akan ditambah, menjadikan enam perjalanan sehari bermula tarikh sama.

“Dengan lengkapnya jajaran tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru, kita bukan sahaja memperkukuh rangkaian rel nasional, malah menyediakan pilihan mobiliti awam yang lebih selesa, cekap dan selamat,” katanya.

Tambah Ahmad Nizam, tiket mula dijual pada 17 Disember 2025, pukul 12 tengah hari bagi tempoh enam bulan sehingga Mei 2026.

Ia boleh diperoleh melalui aplikasi KITS Style, laman web KTMB atau mesin kios.

Untuk info, perkhidmatan ETS3 laluan JB Sentral–KL Sentral yang mula beroperasi pada 12 Disember lalu menerima sambutan positif termasuk daripada pengguna Singapura.

Anda Mungkin Berminat