Imigresen Serbu ‘Markas Panas’ PATI Warga Afrika, 131 Individu Diperiksa

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekali lagi menunjukkan ketegasan apabila berjaya menyerbu kawasan panas yang menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya warga Afrika di sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

Operasi bermula pukul 9.40 malam itu dilakukan hasil aduan awam serta risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, pihak berkuasa berkata, seramai 131 individu diperiksa dalam operasi bersepadu tersebut, melibatkan 82 lelaki dan 34 wanita warga asing serta 15 warganegara tempatan.

“Seramai 131 individu yang terdiri daripada 82 lelaki dan 34 wanita warganegara asing serta 15 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.

“Hasilnya, seramai 90 individu terdiri daripada warganegara Nigeria, Yemen, Syria, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Selain itu, JIM turut mengeluarkan surat saman kepada pemilik sebuah restoran di lokasi berkenaan kerana disyaki berselindung di sebalik pas tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan terbuka.

“Modus operandi mereka adalah berselindung di sebalik pas yang telah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan terbuka seperti kawasan parkir kereta dan di kawasan tumpuan seperti kedai makan dan restoran seterusnya menjadikan tempat tersebut untuk berhibur hingga lewat malam,” katanya.

Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, menyalah guna pas atau tinggal lebih masa di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

Anda Mungkin Berminat