Kes Tembakan Di Melaka: Siasatan Diklasifikasi Semula Sebagai Kes Bunuh

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa siasatan berhubung insiden tembakan yang meragut nyawa tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa kes tersebut telah dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk semakan dan tindakan lanjut.

Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak polis, jabatan itu bersetuju bahawa siasatan perlu dinaik taraf kepada siasatan kesalahan bunuh.

“Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan ini bersetuju dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tiga lelaki dilaporkan maut akibat tembakan, namun butiran lanjut mengenai latar belakang kejadian masih belum didedahkan sepenuhnya.

Jabatan Peguam Negara turut berkata, siasatan masih belum lengkap dan beberapa tindakan lanjut perlu diambil oleh PDRM sebelum sebarang keputusan muktamad dapat dibuat.

“Penelitian awal jabatan ini mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa juga keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat