PETALING JAYA: Rombakan Kabinet MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Disember 2025 bukanlah detik dramatik atau simbol kelahiran fasa baharu reformasi.
Sebaliknya, ia menandakan satu peralihan senyap tetapi signifikan daripada idealisme awal kepada realisme pentadbiran.
Pada tahap ini, kerajaan tidak lagi berusaha mencipta kejutan politik sebaliknya menumpukan kepada memastikan jentera pentadbiran bergerak sebagai satu pasukan.
Anwar berkata, rasional rombakan tersebut dengan menekankan keperluan membentuk kabinet yang berfungsi secara kolektif.
“Supaya ada kabinet bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Kenyataan itu menggambarkan dengan jelas fokus kerajaan yang semakin praktikal, di mana ekonomi dan penyampaian bukan lagi retorik perubahan semata-mata.
Nada sama terserlah dalam teguran terbuka beliau terhadap Jemaah Menteri.
“Jemaah Menteri mesti menerima kritikan dengan hati terbuka dan memperbaiki kelompangan yang ada dalam kerajaan,” tegas Anwar.
Amaran itu memperlihatkan kesedaran bahawa kematangan kerajaan bukan diukur melalui kestabilan politik semata-mata tetapi melalui keupayaan mengakui kelemahan dan membetulkannya secara sistematik.
Menariknya, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada menteri dan timbalan menteri yang digugurkan termasuk Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Pendekatan itu mengisyaratkan bahawa rombakan bukanlah pembersihan politik tetapi penyesuaian struktur bagi menghadapi fasa pentadbiran lebih mencabar khususnya dalam landskap geopolitik dan teknologi yang semakin kompleks.
Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membawa mesej jelas kepada pasaran.
Johari menyifatkan tanggungjawab itu sebagai satu ‘amanah besar’ terutama dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.
“MITI memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya.
Kenyataan ini menandakan keutamaan Kerajaan MADANI dalam fasa kematangannya, kestabilan, kebolehjangkaan dan hasil yang boleh dirasai secara langsung.
Pandangan bahawa rombakan ini bersifat teknokratik turut dikongsi Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Mengulas pelantikan Hannah Yeoh ke portfolio Wilayah Persekutuan, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai berasaskan pengalaman dan kesesuaian, malah mengalu-alukannya sebagai ‘pilihan sangat tepat’ memandangkan rekod Hannah yang konsisten memperjuangkan isu rakyat.
Kenyataan ini mengukuhkan gambaran bahawa kerajaan memilih pendekatan fungsional berbanding pertimbangan politik jangka pendek.
Di peringkat pengurusan gabungan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan Kerajaan Perpaduan.
Dengan Sabah dan Sarawak semakin menjadi paksi kestabilan, Fadillah berkata, kesediaannya untuk berfungsi sebagai jambatan komunikasi antara Kabinet dan wakil rakyat Malaysia Timur.
“Saya sendiri boleh berinteraksi dengan wakil-wakil kita.
“Saya boleh memainkan peranan untuk beri penjelasan kepada semua Ahli Parlimen GPS dan GRS,” katanya.
Kenyataan ini mencerminkan realiti politik baharu, di mana kestabilan kerajaan kini perlu diurus secara aktif, bukan dianggap sebagai sesuatu yang automatik.
Rombakan ini turut membuka ruang kepada generasi baharu dalam kepimpinan negara.
Pelantikan Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi dilihat sebagai pertaruhan strategik.
Sebelum pelantikannya, Akmal pernah menyatakan ‘tanpa tenaga nuklear, sukar untuk Malaysia mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050’ sambil menekankan keperluan meneroka teknologi nuklear baharu seperti Small Modular Reactors.
Kenyataan itu memberi gambaran bahawa Kerajaan MADANI kini bersedia berhadapan dengan pilihan dasar yang sukar, walaupun berpotensi mencetuskan perdebatan awam.
Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan rombakan Kabinet ini sebagai ‘tidak besar tetapi lebih strategik dan terarah’.
Menurut beliau, tumpuan Perdana Menteri jelas kepada kementerian yang menjadi ukuran keberkesanan kerajaan seperti ekonomi dan pelaburan, selain usaha memperkukuh pasukan utama menjelang PRU16.
Gabungan tokoh berpengalaman, teknokrat dan pemimpin muda, katanya, memberi peluang kepada dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih pantas dan meyakinkan.
Namun, rombakan ini tetap tidak terlepas daripada kritikan pembangkang.
Pas misalnya, menyindir pengekalan Anwar sebagai Menteri Kewangan dengan menyatakan bahawa ‘janji reformasi terkubur secara rasmi’.
Walaupun kritikan itu lebih bersifat politik, ia mencerminkan tekanan berterusan yang dihadapi kerajaan khususnya dalam isu sensitiviti kaum dan agama yang sering dieksploitasi dalam landskap politik negara.
Secara keseluruhan, rombakan Kabinet MADANI Disember 2025 bukan tentang perubahan wajah tetapi perubahan pendekatan.
Ia menandakan peralihan kepada sebuah kerajaan yang semakin sedar akan had kuasa, kekangan realiti dan keperluan menyampaikan hasil yang nyata.
Kematangan ini mungkin tidak memukau tetapi dalam iklim politik Malaysia hari ini, realisme barangkali menjadi satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan bertahan kini menjadi prasyarat kepada sebarang perubahan yang ingin dicapai.








