BANGKOK: Kontinjen Malaysia terus mencatatkan prestasi membanggakan di pentas Sukan SEA Thailand 2025 apabila berjaya mengumpul keseluruhan 150 pingat setakat hari ketujuh kejohanan.
Jumlah itu terdiri daripada 30 emas, 31 perak dan 89 gangsa, sekali gus meneguhkan kedudukan negara dalam carta pungutan pingat.
Kedudukan ini mengekalkan Malaysia dalam kalangan lima negara teratas, walaupun persaingan sengit daripada kuasa tradisi seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Pada hari ketujuh sahaja, Malaysia menambah 16 lagi pingat dengan kutipan empat emas, tiga perak dan sembilan gangsa.
Sorakan kejayaan bergema apabila Megan Min Ern Ding menghadiahkan emas dalam acara ekuestrian dressage, diikuti Ong Chee Keng yang menjuarai menembak shotgun trap lelaki.
Pasangan Syarizol dan Rafiq Ismail pula memastikan emas dalam tenpin boling beregu lelaki, manakala Irfan Shamsudin sekali lagi membuktikan keunggulan dalam lempar cakera lelaki.
Tiga pingat perak turut diraih menerusi acara gimnastik berirama lima reben, gimnastik berirama tiga bola dan dua gelung serta angkat berat lelaki kategori 94kg yang disumbangkan oleh Mohamad Syahmi Nor Ghazali.
Sembilan gangsa pula hadir daripada kepelbagaian acara termasuk triatlon akuatlon berganti-ganti berpasukan campuran, berbasikal lebuh raya berpasukan lelaki serta dua acara kickboxing yang masing-masing disumbangkan oleh Kueggen Vijayakumar (63kg point fighting) dan Ooi Khen Xing (57kg kick light fighting).
Tenpin boling beregu lelaki turut menyumbang gangsa melalui pasangan Tsen Fan Yew dan Tun Hakim, manakala pasukan kabaddi lelaki dan wanita masing-masing menambah koleksi.
Gimnastik berirama individu keseluruhan menyaksikan Ng Joe Ee meraih gangsa, sementara Norliyana Kamaruddin pula menghadiahkan gangsa dalam acara lompat tinggi wanita.








