KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan tamparan hebat apabila Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan sekatan susulan kes menurunkan pemain yang tidak layak, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya diisytiharkan kalah 3-0 bagi tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Menurut kenyataan rasmi FAM, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember 2025, dipengerusikan Timbalan Pengerusinya, Jorge Palacio.
“FIFA mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) selepas menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan kebangsaan.
“Tiga perlawanan itu ialah perlawanan menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berkesudahan seri 1-1, perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang menyaksikan Malaysia menang 2-1.
“Yang terakhir adalah perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September 2025 yang berakhir dengan kemenangan 1-0 buat skuad negara,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Dengan keputusan tersebut, FIFA memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan berkenaan, sekali gus membatalkan keputusan asal yang sebelum ini menyaksikan skuad negara mencatat dua kemenangan dan satu seri.
Selain hukuman kekalahan teknikal, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000, bersamaan kira-kira RM51,414.
Dalam perkembangan sama, FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis kepada Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi mendapatkan alasan penuh keputusan tersebut sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya.








