KPDN Gerak Jualan RAHMAH Di Kelantan, Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Banjir

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan Program Jualan RAHMAH (PJRM) di Kelantan, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan penduduk yang terjejas tetap mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan khususnya ketika berlaku gangguan bekalan akibat banjir.

“Program ini telah dimulakan di Tapak Futsal Kampung Neting dengan penawaran barangan asas pada harga mampu milik, termasuk penjimatan sehingga 30 peratus berbanding pasaran, serta bantuan kepada 30 orang asnaf melalui sumbangan barangan keperluan, katanya.

Beliau berkata, KPDN Kelantan turut mempertingkatkan pemantauan bekalan dan harga di kawasan terjejas, selain menjalin kerjasama strategik untuk menggerakkan PJRM berhampiran Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“KPDN Kelantan turut mempertingkatkan pemantauan bekalan dan harga di kawasan terjejas serta menjalin kerjasama strategik bagi menggerakkan PJRM berhampiran Pusat Pemindahan Sementara termasuk pelaksanaan PJRM Bergerak ke pedalaman dan PJRM Musim Perayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu katanya, Skuad Ihsan MADANI juga digerakkan bagi melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan terjejas banjir sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada komuniti setempat.

“KPDN turut merancang pelaksanaan PJRM kembali ke sekolah dari 18 Disember hingga 10 Januari di 43 premis serta PJRM bergerak di lokasi terpilih bagi membantu murid dan keluarga yang terjejas.

“Langkah ini dijangka memudahkan akses barangan asas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup semasa musim tengkujuh,” katanya.

Anda Mungkin Berminat