Kabinet Baharu Dinilai Melalui Hasil Nyata – ABIM

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa keberkesanan Kabinet baharu harus diukur melalui kemampuan menyampaikan dasar serta keberhasilan tadbir urus yang memberi manfaat nyata kepada rakyat, bukan sekadar berdasarkan komposisi politik.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, rakyat akan menilai kerajaan melalui hasil yang boleh dirasai, bukannya hanya perubahan struktur atau pembaikan naratif politik.

“Saya setiap Menteri dan Timbalan Menteri termasuk dari kalangan generasi muda, agar memikul tanggungjawab dengan budaya kerja berteraskan amanah, kecekapan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban.

“Semoga setiap mandat dilaksanakan dengan keinsafan bahawa kuasa adalah amanah dan jawatan adalah tanggungjawab kepada rakyat serta Allah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menekankan peranan ABIM sebagai rakan kritikal yang konstruktif dengan komitmen menyokong langkah yang memperkukuh kestabilan dan reformasi negara serta menegur sekiranya berlaku penyimpangan daripada amanah rakyat.

“Kepercayaan rakyat hanya boleh dipulihkan melalui kesungguhan bekerja, keberanian membuat keputusan yang betul dan kesediaan dipertanggungjawabkan atas kegagalan,” katanya lagi.

Beliau berkata, mandat yang diberikan kepada Kabinet baharu perlu diterjemahkan kepada tindakan berkesan, demi memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dapat dipulihkan dan diperkukuh.

Anda Mungkin Berminat