KLANG: Seorang lelaki warganegara berusia 34 tahun maut ditetak dalam satu kejadian pergaduhan lewat malam Rabu di Taman Sentosa, Klang Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazelin Kahar dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 kira-kira pukul 11.50 malam, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat ditetak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya.
Bagi membantu siasatan, polis menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan tampil segera.
Saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanun Jenayah (ASP) Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-6650895 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222.








