KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang memperhebatkan kawalan keselamatan perairan negeri itu dengan menggerakkan sepenuhnya aset dan anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Fokus utama operasi bukan sahaja tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang maritim, tetapi turut melibatkan misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, seramai 259 pegawai dan anggota telah diatur gerak dengan sokongan kapal serta bot yang sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi sepanjang tempoh monsun.
Menurut beliau, tumpuan operasi turut merangkumi bantuan pemindahan perubatan (MEDEVAC) serta sokongan pengurusan bencana banjir, khususnya di komuniti nelayan, kawasan pesisir pantai dan pulau yang berisiko terjejas.
“Maritim Malaysia Negeri Pahang bersedia memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan melibatkan nyawa dan keselamatan orang awam ketika monsun ini,” katanya.
Beliau turut menasihati komuniti maritim serta penduduk di kawasan pulau dan pesisir pantai agar sentiasa berwaspada dengan memantau ramalan cuaca serta bersedia menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu termasuk laut bergelora, ombak besar, angin kencang dan arus kuat.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya komuniti maritim diminta mengelakkan aktiviti rekreasi di laut sepanjang musim tengkujuh demi keselamatan nyawa.
“Untuk rekod sepanjang Januari hingga November tahun ini, seramai 15 orang telah diselamatkan dan hanya dua mangsa dilaporkan maut dalam insiden di laut.
“Oleh itu, Maritim Negeri Pahang menasihati semua pihak agar sentiasa berwaspada pada musim tengkujuh ini dengan meningkatkan langkah-langkah ‘prevention’ SAR bagi mengurangkan angka tersebut,” katanya.
Tambah beliau, para pengusaha resort dan hotel juga dinasihatkan agar memainkan peranan aktif dengan menasihati pengunjung terutamanya pelancong luar negara, supaya tidak melakukan aktiviti laut atau berada di kawasan pantai ketika cuaca buruk.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mandi di kawasan pantai yang dikenal pasti mempunyai kawah air atau arus kuat dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-571 7345 atau 999 untuk tindakan segera.








