PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyeru orang awam agar bertenang dan menghormati proses siasatan serta pengadilan susulan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka yang mengakibatkan kematian tiga individu.
AGC menegaskan pihaknya memandang serius perbincangan awam dan spekulasi di media sosial berkaitan insiden berkenaan kerana ia berpotensi menjejaskan integriti siasatan serta keyakinan terhadap sistem keadilan negara.
Menurut AGC, selepas menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), siasatan kes tersebut telah diarahkan untuk diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
AGC berkata, pengelasan semula itu dibuat selaras dengan tanggungjawab perlembagaan bagi memastikan siasatan dijalankan berdasarkan undang-undang dan bukti sedia ada.
Namun katanya, ia tidak bermaksud sebarang kesalahan jenayah telah diputuskan pada peringkat ini.
Kini, siasatan kes dijalankan oleh pasukan khas PDRM di Bukit Aman dengan penekanan terhadap kepentingan memelihara integriti proses siasatan tanpa gangguan pihak luar.
“Orang awam, termasuk pengulas dan pengguna media sosial, dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menggalakkan individu yang mempunyai maklumat, rakaman, gambar atau bukti berkaitan insiden tampil memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Dalam kenyataan sama, AGC turut memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat secara bebas berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima tanpa dipengaruhi tekanan luar.
Perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.








