Sunway Square Mall Tarik Balik Dasar Mesra Haiwan Susulan Arahan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM: Sunway Square Mall menarik balik dasar mesra haiwan dengan serta-merta susulan arahan kerajaan negeri yang mengekalkan larangan membawa haiwan peliharaan ke dalam pusat beli-belah.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, pihak pengurusan memaklumkan bahawa haiwan peliharaan tidak lagi dibenarkan berada di kawasan dalaman tertutup pusat beli-belah berkenaan bagi memastikan persekitaran selamat, bersih dan selesa kepada semua pengunjung.

Bagaimanapun, haiwan peliharaan masih dibenarkan berada di kawasan luar yang telah ditetapkan sebagai zon mesra haiwan, iaitu Squarrel’s Playground di Sunway South Quay Lake.

Selain itu, haiwan peliharaan turut dibenarkan menemani pemilik mereka melalui laluan tertentu antara tempat letak kereta pusat beli-belah di aras B3 dan B4 ke zon luar berkenaan, tertakluk kepada pemantauan dan panduan pasukan keselamatan pusat beli-belah.

Pengurusan Sunway Square Mall turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul serta merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kefahaman diberikan sambil menegaskan komitmen untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, dilaporkan berkata bahawa larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di Selangor masih kekal berkuat kuasa.

Menurut beliau, meskipun dasar berkenaan masih dikuatkuasakan, kerajaan negeri akan meneliti semula garis panduan sedia ada bagi memastikan keharmonian semua pihak.

Terdahulu, tangkap layar berhubung dasar terkini pusat beli-belah berkenaan telah tular dan dikongsikan oleh beberapa pihak, namun kenyataan asal yang dimuat naik tidak lagi dapat diakses ketika ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat