Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Keberanian Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan komposisi Kabinet yang diumumkan baru-baru ini mencerminkan komitmen jelas terhadap agenda perpaduan nasional.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah tersebut bersifat signifikan dan bersejarah kerana buat pertama kalinya negara menyaksikan pendekatan pentadbiran yang benar-benar merentas garis kaum dan wilayah.
Menurut beliau, pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah daripada kaum Cina bukan sahaja melambangkan keterbukaan kerajaan, malah menghantar isyarat jelas bahawa pentadbiran negara tidak lagi terikat kepada kerangka politik perkauman yang sempit.
“Pengwujudan semula kementerian yang memberi fokus khusus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak pula memperlihatkan keprihatinan terhadap keseimbangan Persekutuan, selain mengiktiraf kedudukan serta kepentingan kedua-dua wilayah itu dalam pembinaan negara bangsa,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan harapan beliau pada tahun 2026 adalah mahu mengekang sentimen politik perkauman di Maaysia ini.
Tambah beliau, pelantikan pemimpin India daripada PKR, Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan pula memperkukuh naratif keterangkuman dalam pentadbiran.
Manakala pelantikan Dr Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencerminkan kesediaan kerajaan memberi ruang kepada tokoh muda yang memiliki latar belakang akademik kukuh serta pemikiran kontemporari.
Beliau berkata, gabungan kepelbagaian latar belakang kaum, wilayah dan kepakaran dalam Kabinet baharu ini menjadi asas penting kepada usaha meredakan ketegangan berasaskan identiti, sekali gus membina keyakinan rakyat terhadap hala tuju kepimpinan negara.
Mengulas langkah seterusnya, Dr Mohammad Tawfik berpandangan bahawa usaha mengekang politik perkauman perlu diperkasakan secara lebih tersusun menjelang 2026 menerusi pembentukan satu kerangka atau pelan induk Perpaduan Negara yang jelas dan menyeluruh.
Katanya, pelan tersebut wajar memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pengukuhan etika serta penguatkuasaan dalam penggunaan media, pembudayaan amalan politik yang matang dan berhemah, serta pembinaan karakter dan nilai kewarganegaraan dalam kalangan generasi muda.
“Sekiranya tiga cabang ini dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan, isu politik perkauman yang merentas kaum dapat dibendung dengan lebih sistematik, seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang lebih bersatu, matang dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Malaysia Bangkit turut mendapatkan pandangan daripada pemimpin politik iaitu Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang menyambut baik kenyataan Perdana Menteri bahawa bermula 2026, Kerajaan MADANI akan bertindak lebih berani dan tegas dalam menangani isu bahasa, kaum serta sentimen perkauman yang sekian lama diperalatkan demi kepentingan politik sempit.

Bagaimanapun, Mahfuz menegaskan bahawa sokongan terhadap pendirian itu perlu disertai dengan peringatan yang jelas dan tegas agar keberanian yang dijanjikan tidak terhenti sekadar pada peringkat ucapan atau retorik semata-mata.
“Rakyat tidak lagi boleh menerima keberanian yang hanya dizahirkan melalui kenyataan, tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan adil,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada amat penting bagi memastikan isu perkauman tidak terus dimanipulasi sehingga menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional.
Baca juga:








