Wajah Malaysia perlu semangat kenegaraan, bukan sentimen kaum – Wanita PKR

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kepimpinan sistem demokrasi berperlembagaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan sentimen kaum, sebaliknya prestasi serta kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Loh Ker Chean berkata demikian susulan
pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan masyarakat Cina yang mencetuskan pelbagai reaksi, sekali gus kepekaan masyarakat terhadap isu kepimpinan negara.

“Rakyat daripada pelbagai latar belakang mempunyai keperluan yang sama, iaitu perlindungan sistem yang adil, pentadbiran yang berhemah serta kepimpinan yang berintegriti dan beradab. Inilah kayu ukur sebenar dalam menilai sesebuah kepimpinan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik aspirasi Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berusaha menterjemahkan nilai kepelbagaian menerusi rombakan Kabinet yang diumumkan baru-baru ini.

Mengulas mengenai kepimpinan Wilayah Persekutuan, Loh berkata kawasan itu sebagai pusat pentadbiran dan wajah Malaysia perlu dipimpin dengan semangat kenegaraan yang tinggi, di samping meraikan kepelbagaian serta menjunjung keluhuran Perlembagaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan perbahasan awam yang matang tidak seharusnya tersasar kepada pertikaian identiti yang boleh menjejaskan keharmonian nasional, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek akauntabiliti dan keupayaan pemimpin yang dilantik untuk melaksanakan amanah demi kepentingan negara.

“Malaysia akan terus kukuh apabila kita menilai kepimpinan berdasarkan prestasi dan memelihara kesatuan nasional demi masa depan yang stabil, adil dan bermaruah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat