Anak Bung Moktar jadi calon BN Parlimen Kinabatangan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Wasiat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin kian dimanifestasikan apabila anaknya Mohd Naim Kurniawan diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang dijadual berlangsung pada 24 Januari depan.

Perkara itu disah sendiri oleh Mohd Naim yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO selepas menerima amanah daripada kepimpinan tertinggi parti.

“Terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan amanah sebagai calon BN PRK Parlimen Kinabatangan.

Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi turut membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan,” katanya.

Mohd Naim yang juga anak sulung kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut meluahkan bahawa detik berkenaan pastinya lebih bermakna sekiranya dapat disaksikan oleh bapanya sendiri.

“Alangkah sempurnanya jika momen ini disaksikan oleh bapa saya. Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik.

“Takziah dan tahniah ini akan saya pikul bersama, dan akan diperjuangkan dengan sepenuh jiwa, kudrat serta keikhlasan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, UMNO Sabah telah mengemukakan empat nama telah disenaraikan Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, sebagai calon bagi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat