Sejarah Kita, Simpanan Dunia

PETALING JAYA: Susulan lawatan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke British Library pada 16 Disember lalu, pihak Royal Press Office tampil menjelaskan isu pemilikan artifak sejarah yang hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Ramai yang menyuarakan sentimen bahawa artifak sejarah negara yang kini berada di luar negara telah ‘dicuri’ semasa era penjajahan dan wajar dibawa pulang sebagai hak milik mutlak Malaysia.

Sepanjang sejarah sebelum kemerdekaan, kerajaan-kerajaan Melayu telah menjalin hubungan diplomatik dan budaya dengan pelbagai kuasa dunia.

Dalam proses itu, pertukaran cenderakenangan dan dokumen berlaku secara sah dan beretika.

Maka, tidak semua artifak yang berada di luar negara boleh dianggap sebagai hasil rampasan.

“Apa jua bentuk artifak sejarah, jika ingin dibawa pulang atau dimiliki semula, tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu melalui proses yang betul berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataan Royal Press Office.

Dalam lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda telah meneliti manuskrip dan surat-surat Raja Melayu yang kini disimpan di British Library.

Menurut titah Baginda, dokumen-dokumen tersebut adalah milik keluarga waris Sir Stamford Raffles yang telah menyerahkannya kepada institusi tersebut untuk tujuan penyelidikan dan pemeliharaan.

“Sebagai contoh, jika kita mempunyai surat-surat yang diutuskan kepada nenek moyang kita daripada pihak luar, adakah wajar ianya dituntut oleh waris pihak yang mengutuskan surat itu sebagai hak milik mereka dan kita menyerahkannya kepada mereka?

“Ianya adalah bukti perhubungan antara kedua-dua pihak dan dalam konteks sejarah, wajar disimpan sebaiknya” titah Raja Permaisuri Agong.

Baginda turut menjelaskan bahawa banyak cetakan buku dan hikayat dari Tanah Melayu telah dihantar ke British Library sebagai salinan simpanan semasa era penjajahan British.

Proses itu bukan sahaja sah daripada segi pentadbiran, malah menjadi sebahagian daripada usaha dokumentasi sejarah dunia.

“Ini yang dilakukan oleh British Library dan bermacam lagi institusi sepertinya termasuk di negara kita sebagai usaha memelihara sejarah dan teladannya untuk diselidik oleh generasi kini dan masa hadapan.

“Salinan-salinan asal yang dipamerkan untuk rombongan Johor tempoh hari telah disimpan rapi dengan keadaan kelembapan udara yang dijaga dengan teliti agar tidak rosak.

“Ia juga telah dikongsikan di atas talian dalam bentuk digital untuk para penyelidik.

“Ini adalah lebih utama bagi mempelajari tentang ketamadunan bangsa kita, berbanding soal pemilikan artifak dan dokumen semata-mata,” titah Seri Paduka Baginda.

Menurut Raja Zarith Sofiah, pemahaman terhadap warisan itu adalah penting untuk mencorak masa depan bangsa secara bijaksana dan berasaskan teladan sejarah.

Untuk maklumat lanjut dan akses kepada manuskrip Melayu yang dimaksudkan, pembaca boleh merujuk pautan berikut:

  • Trail of Malay Manuscripts – NST
    https://www.nst.com.my/news/nation/2017/08/267763/trail-malay-manuscripts
  • British Library Research Repository
    https://bl.iro.bl.uk/concern/articles/28c1ec0b-c1cf-46a6-8573-8dada321e56a

Anda Mungkin Berminat