PETALING JAYA: Penyasaran subsidi minyak melalui inisiatif BUDI95 adalah langkah berani yang akhirnya berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI selepas sekian lama dibincangkan kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dasar itu memastikan subsidi minyak dinikmati rakyat Malaysia dan tidak terus bocor kepada lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan ke luar negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Menurut Anwar, pelaksanaan BUDI95 telah menjimatkan kira-kira RM800 juta setakat ini, hasil daripada pengurangan kebocoran subsidi.
Beliau berkata, penjimatan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Selain itu katanya, dana berkenaan turut digunakan untuk menaik taraf klinik dan hospital, membaik pulih jalan raya serta memperkukuh prasarana negara, sekali gus memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Anwar berkata, langkah itu membuktikan bahawa reformasi fiskal mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat sekiranya dilakukan secara bersasar dan berhemah.
Beliau turut menekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap dasar yang diperkenalkan membawa kesan nyata kepada kehidupan rakyat.








