Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | TAHUN 2026 sedang diacu sebagai tahun keberanian. Bukan keberanian retorik, bukan keberanian bermusim menjelang pilihan raya.
Tetapi keberanian politik yang berpaksikan kesedaran bahawa Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam kitaran lama politik perkauman yang dijaja sebagai modal murah untuk menutup kegagalan, ketandusan idea dan kemalasan berfikir.
Inilah konteks sebenar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa Kerajaan MADANI akan melangkah lebih berani mulai 2026.
Khususnya dalam aspek penguatkuasaan serta menangani isu bahasa dan kaum yang sekian lama dianggap “sensitif”.
Hakikatnya, “sensitif” sering kali hanyalah kata ganti kepada ketakutan. Takut kehilangan sokongan, takut diserang pembangkang, takut dituduh mengkhianati kaum sendiri.
Ketakutan inilah yang selama bertahun-tahun telah melumpuhkan keberanian politik, menyebabkan terlalu banyak isu dibiarkan tergantung.
Terlalu banyak kebatilan dibiarkan membiak dan terlalu ramai oportunis politik membina pengaruh dengan meniup api kebencian.
Dalam suasana sedemikian, tulisan ini cuba menjengah gagasan buku Revolusi Mental yang pernah dibincangkan oleh Senu Abdul Rahman pada era 1960-an
Revolusi Mental bukan slogan. Ia bukan poster, bukan seminar motivasi, dan bukan kosmetik ucapan.
Ia adalah proses ‘menyakitkan’ yang memaksa bangsa melihat cermin, mengakui kelemahan sendiri dan berhenti menyalahkan “orang lain” sebagai punca segala masalah.
Buku Senu itu menegaskan bahawa kegagalan Melayu untuk bersaing bukan semata-mata akibat struktur tetapi juga akibat mentaliti, sikap bergantung, takut risiko, cepat berpuas hati dan gemar berlindung di sebalik perlindungan politik.
Lensa Perkauman Lemah
Namun apa yang berlaku hari ini ialah politik perkauman telah menjadi pelindung kepada mentaliti lemah itu.
Ia dijadikan benteng untuk mengelak perubahan. Setiap pembaharuan di label agenda asing.
Setiap ketegasan dituduh menindas. Setiap pelantikan dilihat melalui lensa kaum, bukan keupayaan.
Akhirnya, bangsa dan negara menjadi tebusan kepada segelintir pemain politik yang hidup daripada kemarahan, kecurigaan dan ketakutan rakyat.
Isu pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan daripada kaum Cina adalah contoh paling jelas bagaimana politik perkauman cuba dihidupkan semula.
Pembangkang dengan pantas membina naratif bahawa pelantikan sedemikian kononnya akan “menggadaikan hak Melayu”, “mengancam kedudukan Islam” atau “melemahkan kuasa politik Bumiputera di ibu negara”.
Naratif ini bukan sahaja tidak jujur, malah berbahaya kerana ia memupuk rasa takut yang tidak berasas.
Hakikat yang perlu ditegaskan ialah ini; hak Melayu tidak ditentukan oleh kaum seorang menteri.
Hak Melayu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, oleh institusi negara dan oleh dasar yang konsisten.
Selagi Perkara 153, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dipelihara, pelantikan individu berbangsa Cina atau apapun ras sekalipun ke jawatan menteri tidak sedikit pun menghakis hak tersebut.
Mengaitkan pelantikan ini dengan “kehilangan kuasa Melayu” adalah hujah malas yang memperlekehkan kekuatan perlembagaan negara sendiri.
Lebih membimbangkan, naratif pembangkang ini secara tidak langsung mengkhianati semangat Revolusi Mental yang diacu Senu.
Ia mengajar orang Melayu supaya takut kepada merit, curiga terhadap kepakaran dan melihat setiap kejayaan kaum lain sebagai ancaman.
Inilah mentaliti tertawan yang telah lama ditegur oleh Senu; mentaliti yang lebih selesa berlindung di sebalik ketakutan berbanding membina keupayaan sendiri.
Revolusi Mental menuntut keberanian untuk mengakui bahawa pentadbiran moden memerlukan kepakaran, integriti dan kecekapan, bukan sekadar kesamaan kaum.
Seorang Menteri Wilayah Persekutuan yang cekap, berdisiplin dan berintegriti tanpa mengira bangsa akan lebih berupaya menjaga kepentingan rakyat Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan termasuk kepentingan orang Melayu bandar yang sering terpinggir.
Ketidakcekapan, bukan kaum, adalah musuh sebenar hak rakyat. Ironinya, bahawa bangsa yang besar bukan bangsa yang sentiasa menjerit tentang haknya tetapi bangsa yang bekerja keras untuk memelihara maruahnya.
Dalam konteks ini, maruah Melayu tidak terletak pada siapa yang memegang jawatan tetapi pada keupayaan orang Melayu untuk bersaing, memimpin dan mempengaruhi dasar melalui kecemerlangan dan integriti.
Politik yang bergantung pada ketakutan kaum lain hanya melahirkan generasi yang rapuh dan defensif.
Keberanian politik 2026, seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri harus dilihat sebagai titik perubahan.
Apabila kerajaan menegaskan bahawa ia tidak akan tunduk kepada naratif songsang yang mengeksploitasi isu kaum dan agama, ia sebenarnya sedang mencabar rakyat untuk turut melakukan Revolusi Mental.
Politik perkauman tidak boleh lagi diraikan sebagai “realiti politik”. Ia mesti dikenali sebagai racun yang melumpuhkan daya fikir rakyat dan menghalang kemajuan negara.
Politik Perkauman Tutup Kebenaran
Revolusi Mental dalam konteks ini menuntut tiga perubahan besar.
Pertama, keberanian untuk berkata benar walaupun tidak popular.
Isu bahasa, kaum dan ekonomi tidak boleh terus diselubungi bahasa berkias yang kabur.
Penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan tanpa memilih bulu termasuk terhadap ahli politik yang menyemarakkan kebencian kaum demi keuntungan politik.
Kedua, Revolusi Mental menuntut rakyat berhenti menjadi penonton yang mudah diperalat. Politik perkauman hanya hidup subur kerana ada pasaran.
Selagi rakyat gemar ditakut-takutkan, selagi itulah penjual ketakutan akan terus berkuasa.
Rakyat perlu dididik untuk menilai prestasi, bukan sentimen; dasar, bukan dakyah dan hasil, bukan jeritan.
Tentunya, perubahan masyarakat hanya berlaku apabila individu memiliki disiplin diri dan keberanian moral.
Ketiga, keberanian 2026 mesti disokong oleh reformasi institusi yang konsisten.
Sepanjang 2025, kerajaan telah memperkenalkan langkah penting termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal, reformasi perolehan, rasionalisasi subsidi dan pengukuhan agensi penguat kuasa.
Rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion bukan angka kecil tetapi ia hanya bermakna jika disertai ketelusan dan keadilan yang berterusan.
Dalam ekonomi, politik perkauman sering dijadikan alasan untuk menutup kegagalan sebenar.
Sedangkan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, mencecah RM 384.4 bilion dan ringgit menunjukkan pengukuhan.
Ini membuktikan bahawa pelabur lebih yakin kepada kestabilan, kejelasan dasar dan tadbir urus baik berbanding retorik perkauman.
Revolusi Mental menuntut kita menerima hakikat ini; kemajuan tidak datang daripada jeritan identiti tetapi daripada disiplin, kerja keras dan kecekapan.
Begitu juga dalam aspek kesejahteraan rakyat. Kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum dan hampir menoktahkan kemiskinan tegar membuktikan bahawa dasar berasaskan keperluan sebenar rakyat lebih berkesan daripada politik pecah-belah.
Kemiskinan tidak mengenal kaum dan kos sara hidup tidak memilih agama.
Akhirnya, Revolusi Mental perlu menerajang politik perkauman bukan kerana ia tidak sopan tetapi kerana ia merosakkan.
Ia melumpuhkan keberanian, melemahkan daya saing dan memiskinkan wacana awam.
Jika 2026 benar-benar mahu dikenang sebagai tahun keberanian, maka keberanian itu mesti dizahirkan dalam satu keputusan jelas; negara ini tidak lagi menjadi tebusan kepada penjual kebencian.
Seperti yang diingatkan oleh Senu, kerajaan boleh membuka jalan tetapi bangsa itu sendiri mesti berjalan.
Kerajaan MADANI boleh mengetatkan penguatkuasaan dan memperkemas institusi, namun Revolusi Mental hanya akan berjaya apabila rakyat memilih untuk meninggalkan politik ketakutan dan melangkah ke gelanggang politik keberanian.
Tanggal 2026 bukan sekadar angka di kalendar. Ia adalah ujian sama ada Malaysia sanggup dewasa atau terus bersembunyi di balik jeritan perkauman yang semakin kosong maknanya.
** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








