Najib Akan Buat Rayuan Semakan Keputusan Titah Adendum

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum.

Perkara itu disahkan oleh peguam bela beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang media pada Selasa.

“Kami akan mengemukakan rayuan.

“Kami telah memohon agar penghakiman awal diformalkan termasuk penyediaan penghakiman bertulis serta Rekod Rayuan disegerakan supaya perkara ini dapat dibawa ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan, yang kami anggap ianya perlu,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mengesahkan Titah Adendum yang dikatakan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Keputusan itu bermakna Najib kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang berkait kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan.

Hukuman asal adalah penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Kes SRC ini merupakan sebahagian daripada siri pendakwaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menjadi antara kes rasuah terbesar dalam sejarah negara.

Rayuan baharu ini dijangka sekali lagi menarik perhatian awam kerana Najib merupakan bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan di Malaysia.

Keputusan Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan kelak akan menjadi penentu sama ada beliau berpeluang menjalani hukuman di bawah tahanan rumah atau terus kekal di penjara.

Anda Mungkin Berminat