Malaysia Tampil Berani Sokong Misi Kemanusiaan Gaza, Sukarelawan Dibebas Hasil Diplomasi Aktif – PM

PETALING JAYA: Malaysia tampil berani menyatakan sokongan terbuka terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza ketika banyak kuasa besar dunia memilih untuk berdiam diri atau menghukum pihak yang menentang kezaliman rejim Zionis, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendirian tegas Malaysia itu dizahirkan melalui sokongan politik dan diplomatik terhadap usaha antarabangsa bagi membantu rakyat Palestin yang terus berdepan penindasan.

Anwar berkata, kerajaan bertindak pantas selepas flotilla berkenaan diserang Israel pada 2 Oktober lalu, yang menyaksikan penahanan sukarelawan kemanusiaan termasuk 23 rakyat Malaysia.

“Setiap saat dimanfaatkan untuk merangka strategi, menggerakkan saluran diplomatik dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan mutlak negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, rundingan di peringkat tertinggi dengan Turkiye, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat akhirnya membuahkan hasil apabila kesemua sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan selamat.

Kesemua 23 sukarelawan itu kembali ke tanah air pada 7 Oktober lalu, sekali gus menamatkan penantian penuh debar rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan misi berkenaan.

Anwar turut memuji keberanian sukarelawan yang sanggup membelah lautan demi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza walaupun berdepan layanan kasar dan penahanan oleh pihak Israel.

“Keberanian dan keteguhan jiwa mereka mencerminkan solidariti Malaysia yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa termasuk melalui bantuan kemanusiaan, sokongan diplomatik dan pendirian tegas menentang penjajahan, selaras dengan dasar luar negara yang menjunjung keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Anda Mungkin Berminat