Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Label ‘kerajaan ragu-ragu’ yang dilemparkan terhadap rombakan Kabinet baru-baru ini dipersoalkan kerana didakwa tidak disertakan hujah jelas dan berasas, kata Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan.
Menurut Azmi, beliau telah membaca sepenuhnya hantaran Facebook Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengulas isu rombakan kabinet, namun masih sukar memahami maksud sebenar kenyataan berkenaan.
Katanya, tiada penjelasan konkrit diberikan mengenai sebab kerajaan atau kabinet dilabel sebagai ragu-ragu, sekali gus menimbulkan kekeliruan terhadap mesej yang cuba disampaikan.
Tambah beliau, wujud andaian istilah itu mungkin dikaitkan dengan isu dominasi Melayu dan Islam dalam kerajaan, namun perkara tersebut tidak dinyatakan secara terbuka atau dihuraikan dengan jelas.
Beliau turut merujuk sejarah kerjasama Pas dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, di mana Hadi sendiri pernah menyatakan Pas tidak menerima kerjasama itu sepenuhnya.
“Dalam konteks ini, sukar untuk mengenal pasti hujah sebenar yang menyokong dakwaan bahawa kerajaan hari ini bersifat ragu-ragu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Tambah Azmi lagi, kenyataan itu juga tidak memperincikan sama ada isu berkenaan berkait dengan kehadiran menteri bukan Islam, pelantikan Ahli Parlimen baharu yang belum diuji atau tahap penguasaan orang Islam dalam Kabinet.








