PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah goyah dalam menegakkan pendirian terhadap Palestin, meskipun dunia seakan terus membisu tatkala rakyat Gaza menjadi mangsa jenayah kemanusiaan yang digelar sebagai kisah derita abad ini.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin, Anwar menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan segala bentuk penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
“Penindasan, kezaliman, penjajahan dan pembunuhan ini mesti dihentikan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bersama rakan antarabangsa akan terus berdiri teguh menyokong Gaza sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia dan sahabat dunia berdiri bersama kalian.
“Kita akan terus bersuara dengan tegas, menuntut keadilan ditegakkan untuk sebuah bangsa yang telah terlalu lama menderita,” katanya.








