Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor Terima Amaran Hujan Berterusan – MetMalaysia

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran awal berhubung luruan monsun yang dijangka melanda negara hujung minggu ini.

MetMalaysia berkata, fenomena tersebut diramal berlaku antara 25 hingga 29 Disember 2025, membawa hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung serta angin kencang di Laut China Selatan.

“Analisis terhadap model-model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku pada 25 hingga 29 Disember 2025.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.

“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) telah dikeluarkan bagi negeri Kelantan dan Terengganu bermula 25 hingga 28 Disember, manakala bagi negeri Pahang dan Johor pula amaran berkuat kuasa dari 26 hingga 29 Disember.

Pada masa yang sama, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora masih berkuat kuasa sehingga 25 Disember di perairan Laut China Selatan.

MetMalaysia turut menasihatkan orang awam agar sentiasa peka dengan perkembangan terkini cuaca melalui laman web rasmi www.met.gov.my, media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi mudah alih myCuaca.

Anda Mungkin Berminat