Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia berpotensi menembusi paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Penganalisis Ekonomi, Nazri Hamdan.
Setakat ini katanya, mata wang tempatan telah mengukuh lebih sembilan peratus sejak awal tahun 2025, berada sekitar RM4.09/USD, sekali gus menjadikannya antara mata wang paling kukuh di Asia tahun ini.
Nazri berkata, pengukuhan ringgit sejajar dengan jangkaan pelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat pada 2026, di mana kelemahan dolar AS menjadi pemangkin awal sebelum faktor domestik Malaysia mengambil alih sebagai pemacu utama.
“Dari sudut dasar monetari domestik, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan dijangka kekal ‘stand pat’ sepanjang 2026, menunjukkan kestabilan kitaran kadar faedah.
“Pengukuhan ringgit kali ini bukan disebabkan kenaikan kadar agresif tetapi hasil gabungan aliran pelaburan, penerimaan sektor perkhidmatan, pelancongan serta kredibiliti fiskal.
“Situasi ini menandakan pengukuhan ringgit bersifat ‘fundamental-driven’, bukan spekulatif, sekali gus mengurangkan risiko ‘hot money reversal’ yang biasanya menekan mata wang pasaran sedang membangun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Nazri berkata, kesan pengukuhan ringgit dapat dilihat pada struktur kos syarikat khususnya pengimport bahan mentah yang menanggung 50 hingga 70 peratus kos dalam dolar AS kerana mereka bakal menikmati margin lebih baik.
“Bagi syarikat yang hanya 20 hingga 30 peratus kos jualan dalam USD, pengukuhan ringgit sehingga menembusi RM4.00 akan memberi penjimatan terus pada kos jualan (COGS).
“Dalam konteks makroekonomi, ringgit yang lebih kukuh membantu mengawal inflasi import, menyokong kuasa beli domestik dan memberi ruang dasar lebih luas kepada kerajaan serta BNM.
“Ini adalah satu kombinasi yang jarang berlaku serentak dalam kitaran ekonomi Malaysia,” ujarnya.







