Atlet APM Raih Pingat Sukan SEA Dihargai, Dianugerah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya

KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menganugerahkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya kepada Mohamad Armin Zahryl sebagai pengiktirafan atas kejayaannya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Armin, anggota sukarela APM Daerah Dungun, Terengganu, mencatat sejarah apabila meraih pingat gangsa dalam acara larian 110 meter berpagar di Sukan SEA Thailand 2025.

Dalam satu kenyataan, APM berkata, kejayaan Armin bukan sahaja membanggakan negara, malah mencerminkan semangat juang tinggi dan disiplin yang dimiliki sebagai seorang warga APM.

“Sebagai penghargaan tertinggi dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya dianugerahkan kepada individu yang memberi sumbangan luar biasa dan mengharumkan nama pasukan, organisasi dan negara.

“Penerima juga menerima emblem dan lencana khas sebagai simbol penghormatan,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, Armin menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13.85 saat, sekali gus meraih pingat gangsa dalam saingan sengit di Stadium Bangkok.

Beliau berada di belakang atlet Filipina, Tolentino John Christopher (emas) dan atlet Singapura, Ang Chen Xiang (perak).

Anda Mungkin Berminat