Tiga Warga Indonesia Terapung Di Laut Berjaya Diselamat

PULAU PINANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga Indonesia yang terjatuh ke laut selepas mereka ditemui oleh sebuah kapal tanker, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Maritime Rescue Sub Coordinator Centre (MRSC) Langkawi kira-kira pukul 9 malam.

Maklumat itu memaklumkan bahawa kapal tanker MT ORKIM HARMONY telah menemui dan menyelamatkan tiga mangsa di Perairan Pulau Indah, Selangor.

“Laporan awal daripada nakhoda kapal berkenaan memaklumkan ketiga-tiga mangsa dipercayai keluar ke laut pada 20 Disember lalu untuk aktiviti memancing sebelum bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk pada hari yang sama.

“Mangsa dipercayai terapung di laut selama kira-kira dua hari sebelum ditemui dan diselamatkan oleh kapal MT ORKIM HARMONY,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hasil semakan mendapati kesemua mangsa berusia antara 31 hingga 41 tahun dan berasal dari Dumai, Indonesia.

Bagi tujuan pengambilan mangsa, sebuah bot peronda Maritim Negeri Pulau Pinang telah diatur gerak ke kawasan Anchorage Area untuk merapat ke kapal tanker berkenaan sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang.

Kesemua mangsa akan diambil rakaman keterangan sebelum diserahkan kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KONJEN) bagi urusan dokumentasi lanjut.

Anda Mungkin Berminat