Semakan Tawaran Sekolah Khusus, MRSM 2026 Dibuka Mulai 26 Disember – KPM

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa semakan tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi tahun 2026 akan dibuka mulai 26 Disember 2025 hingga 13 Januari 2026.

Dalam kenyataan rasmi, KPM berkata, semakan itu melibatkan murid Tingkatan 1, Tingkatan 4 serta Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang memohon kemasukan ke Sekolah Khusus dan MRSM.

Menurut KPM, murid daripada sekolah di bawah KPM boleh membuat semakan melalui Sistem Pengurusan Sekolah Khusus bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Bagi murid dari sekolah swasta yang tidak berdaftar dengan KPM pula, semakan perlu dilakukan melalui portal rasmi MRSM.

“Bagi murid yang tidak menerima sebarang tawaran, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui pautan yang sama sepanjang tempoh semakan dibuka,” menurut kenyataan itu.

KPM turut memaklumkan bahawa tarikh pendaftaran bagi murid yang berjaya menerima tawaran ditetapkan pada 13 Januari 2026 di institusi masing-masing.

Sementara itu, semakan keputusan rayuan akan dibuka dari 6 hingga 10 Februari 2026, memberi peluang tambahan kepada pemohon yang tidak berjaya pada peringkat awal.

Kementerian menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memastikan semakan dibuat dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah ketika pendaftaran.

Untuk info, Sekolah Khusus dan MRSM merupakan antara institusi pendidikan berprestij di bawah KPM dan MARA yang memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, pembinaan sahsiah serta pembangunan bakat murid selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi dan aspirasi Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat