PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Natal kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian sempena perayaan itu tahun ini.
Dalam perutusannya, beliau berharap sambutan Hari Natal diraikan dalam suasana penuh harmoni dengan menjunjung nilai murni masyarakat majmuk yang berbilang agama, bangsa dan budaya.
“Berpegang teguhlah kepada Prinsip Rukun Negara ke arah memelihara dan menyuburkan semangat kekitaan serta toleransi demi keamanan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Khalid turut menyeru seluruh warga PDRM agar terus memikul tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dengan penuh amanah serta dedikasi.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota polis yang tetap bertugas sepanjang musim perayaan demi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terpelihara.
“Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen dan pengorbanan warga PDRM yang akan bertugas pada musim perayaan ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya dan sepanjang perjalanan.
“Saya berharap semua yang melakukan perjalanan pulang sentiasa berhati-hati dan selamat tiba ke destinasi masing-masing,” katanya.








