Mohd Shukri letak jawatan MB Perlis

KANGAR: Mohd Shukri Ramli sebentar tadi mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

“Pertamanya, saya ingin maklumkan bahawa saya telah diperkenan untuk mengadap DYMM Raja Perlis pada hari ini, dan telah menyatakan hasrat saya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela, atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan.

Saya telah mempersembahkan surat peletakan jawatan saya kepada DYMM Tuanku pada tengah hari tadi. Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Beliau turut merakamkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, seluruh warga penjawat awam dan khususnya rakyat Perlis yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang pentadbirannya.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pucuk kepimpinan parti serta seluruh ahli parti yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugasan ini.

“Di kesempatan ini, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan di pihak saya, sepanjang saya menggalas amanah yang berat ini.

“Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Tuanku Raja, DYMM Tuanku Raja Perempuan, DYTM Tuanku Raja Muda, DYTM Tuanku Raja Puan Muda kerana memberi peluang kepada saya menjadi Menteri Besar dan mentadbir Kerajaan Negeri Perlis dalam tempoh tiga tahun ini.

“Akhir kalam, semoga Perlis terus sejahtera dan berkat di bawah naungan dan lindungan Allah SWT,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat