Polis tumbangkan sindiket dadah antarabangsa bernilai RM1.04 bilion

PETALING JAYA: Sebuah sindiket dadah antarabangsa yang diketua warga Asia Timur berjaya ditumbangkan oleh Polis DIraja Malaysia (PDRM) dengan merampas dadah seberat 6.2 tan yang dianggarkan bernilai RM1.04 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata sindiket itu berjaya dikekang dalam serbuan Operasi Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang pada 21 Disember lalu.

Kata beliau, serbuan itu disusuli dengan penahanan enam individu termasuk tiga wanita menerusi Operasi Gaharu 1.0 pada 16 Disember.

Serbuan pertama yang dibuat pada 21 Dis di Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan, Polis berjaya merampas 5,983.36 kilogram (kg) cecair dan 207.74 kg serbuk putih, kedua-duanya disyaki Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA).

Polis turut menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas 20.273 kg serbuk disyaki kokain serta 1.252 kg serbuk putih disyaki ketamin pada yang dibuat hari yang sama.

“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 20.7 juta pengguna,” katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih.

Siasatan mendapati sindiket membawa masuk ahli kimia dan bahan prekursor dari luar negara serta menggunakan koordinator dan ahli sindiket warga tempatan bagi memproses dadah.

Beliau menyifatkan ia sebagai sindiket terbesar yang pernah ditumpaskan.

Difahamkan, sindiket itu mengendalikan 14 kilang dan 10 rumah kediaman yang diubahsuai menjadi makmal pemprosesan dan stor penyimpanan dadah, dengan setiap premis disewa pada harga antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.

Jelas beliau, sindiket itu turut dipercayai menggunakan Malaysia sebagai proses memproses dadah sebelum mengedarkannya ke beberapa destinasi luar negara termasuk Hong Kong dan Australia, serta mempunyai lebih 12 ahli termasuk dalang dan beroperasi sejak Januari lepas.

“Berdasarkan peralatan yang dirampas, jelas operasi ini dijalankan pada skala yang sangat besar dan kita akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan serta polis antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menahan baki ahli sindiket termasuk dalang utama,” katanya.

Siasatan turut mendapati sindiket menjalankan aktiviti penipuan dalam talian selepas satu daripada premis yang diserbu dijadikan pusat panggilan penipuan di Kajang dekat sini pada 21 Dis seusai 14 orang ditahan dan kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat