KUALA LUMPUR: Tokoh ilmuan, Datuk Dr. Zahazan Mohamed menafikan sekeras-kerasnya laporan tular yang mendakwa beliau mengatakan minuman Tealive tidak halal.
Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa Tealive merupakan jenama minuman yang telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak ia mula diasaskan.
“Saya dengan tegas menafikan sebarang kenyataan yang mendakwa saya mengatakan sesuatu produk adalah haram. Kenyataan ini adalah palsu dan berniat jahat.
“Status halal atau haram sesuatu produk adalah di bawah bidang kuasa agensi rasmi seperti JAKIM, dan bukan individu atau persatuan tertentu,” katanya pada Sabtu.
Susulan daripada insiden penyebaran maklumat palsu ini, beliau telah membuat beberapa laporan polis bagi mempertahankan diri daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Saya mohon pihak-pihak yang terlibat menghentikan sebarang tindakan atau penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi individu dan jenama” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di aplikasi WhatsApp mendakwa bahawa jenama minuman Tealive adalah haram kerana perisa coklat, vanila, dan kopi di kedai berkenaan kononnya dicampur dengan arak. Kenyataan palsu itu juga menamakan Ustaz Datuk Dr. Zahazan sebagai sumber.
Baca juga:








