NEW YORK: Biar pun bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YouTube, Neal Mohan mengakui mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anaknya.
Hal itu susulan kebimbangan terhadap kesan negatif dunia digital terhadap kanak-kanak dan remaja.
Mohan, yang mengambil alih kepimpinan YouTube pada 2023 dan baru-baru ini dinamakan sebagai CEO Terbaik Tahun 2025 oleh majalah Time, berkata penggunaan YouTube serta platform media lain oleh anak-anaknya dikawal dan dihadkan.
“Kami mengehadkan masa mereka di YouTube dan platform lain. Pada hari bekerja kami lebih tegas, manakala hujung minggu agak longgar. Kami juga tidak sempurna,” katanya dalam satu temu bual video yang dikongsikan oleh Time Magazine di TikTok, baru-baru ini.

Beliau menegaskan pendekatan kesederhanaan adalah yang terbaik untuk keluarganya dan prinsip itu turut digunakan terhadap semua perkhidmatan serta platform dalam talian. Mohan mempunyai tiga orang anak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Kenyataan Mohan dibuat ketika pakar terus menyuarakan kebimbangan terhadap kesan penggunaan telefon pintar dan media sosial secara berlebihan terhadap kesihatan mental kanak-kanak dan remaja.
Profesor Universiti New York (NYU), Jonathan Haidt, yang juga penulis buku The Anxious Generation, menggesa agar kanak-kanak tidak diberikan telefon pintar sebelum usia 14 tahun dan tidak dibenarkan mengakses media sosial sebelum umur 16 tahun.
Menurut Haidt, telefon pintar bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya peranti pelbagai fungsi yang membuka akses luas dunia luar kepada kanak-kanak.

Dalam perkembangan berkaitan, Australia baru-baru ini menjadi negara pertama melaksanakan larangan rasmi terhadap pengguna bawah 16 tahun daripada mengakses platform media sosial utama. Tinjauan YouGov sebelum kelulusan undang-undang itu mendapati 77 peratus rakyat Australia menyokong larangan berkenaan, walaupun pelaksanaannya kini berdepan beberapa tentangan.
Malaysia turut mengambil langkah serupa menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866 (isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian).
Dalam pada itu, Mohan turut menegaskan tanggungjawab besar terhadap golongan muda serta keperluan memberi lebih kawalan kepada ibu bapa terhadap penggunaan platform YouTube oleh anak-anak mereka. YouTube Kids diperkenalkan pada 2015 sebagai versi mesra kanak-kanak bagi platform milik Google itu.
Katanya, matlamat utama adalah memudahkan semua ibu bapa mengurus penggunaan YouTube oleh anak-anak mengikut kesesuaian setiap isi rumah, memandangkan pendekatan keibubapaan adalah berbeza.

Beberapa tokoh teknologi lain turut mengambil langkah serupa. Bekas CEO YouTube, Susan Wojcicki, pernah mendedahkan bahawa beliau hanya membenarkan anak-anaknya menggunakan YouTube Kids dan menghadkan tempoh penggunaan aplikasi itu.
Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates pula secara terbuka menyatakan beliau tidak membenarkan anak-anaknya memiliki telefon bimbit sehingga usia remaja, selain melarang penggunaan telefon semasa waktu makan bersama keluarga.
Sementara itu, jutawan Mark Cuban dilaporkan menggunakan perisian pengurusan rangkaian untuk memantau aplikasi yang digunakan oleh anak-anaknya serta menyekat aktiviti telefon mereka jika perlu.
Baca juga:








