Oleh: Aliyaa Azmi
SEORANG doktor tampil berkongsi pengalaman mengejutkan di platform Thread apabila seorang lelaki yang kelihatan sihat dan cergas rupa-rupanya mengalami kerosakan buah pinggang tahap tiga, dipercayai berpunca daripada pengambilan produk herba tidak berdaftar.
Menerusi perkongsian Drkhaw_familymedicine, lelaki berkenaan hadir ke klinik hanya untuk pemeriksaan kesihatan biasa dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda sakit.
Menurut doktor itu, pesakit terbabit sempat berkongsi bahawa dia sudah berhenti mengambil ubat hospital dan menggantikannya dengan produk herba yang didakwa “100 peratus asli”.
“Dia kata lepas makan produk tu, badan rasa bertenaga dan sakit sendi terus hilang,” tulis doktor berkenaan.
Namun, kejutan berlaku apabila keputusan ujian darah menunjukkan bacaan Creatinine melonjak tinggi, menandakan fungsi buah pinggang pesakit telah merosot ke penyakit buah pinggang kronik tahap 3.
Lebih mengejutkan, pesakit berkenaan mengakui dia langsung tidak menyedari masalah itu kerana masih berasa sihat.
“Tapi doktor, saya rasa sihat sangat!” luah pesakit itu dengan nada terkejut.
“Ramai masyarakat tersalah anggap bahawa produk berlabel “asli” atau “herba” adalah selamat.
“Sedangkan ada antara produk itu dipercayai mengandungi bahan tersembunyi seperti steroid atau ubat tahan sakit (NSAIDs) tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)” tulisnya lagi.
Menurutnya, bahan kimia tersembunyi inilah yang memberi kesan segera seperti hilang sakit dan rasa bertenaga, namun secara senyap-senyap merosakkan buah pinggang.
Tambah beliau, buah pinggang bersifat ‘senyap’ dan tidak menunjukkan simptom sehingga lebih 70 peratus kerosakan berlaku, menyebabkan ramai pesakit hanya menyedari keadaan sebenar apabila sudah terlambat.
Dalam pesanan penutup, doktor itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mempertaruhkan kesihatan demi kesan segera.
“Jangan sebab nak tenaga segera atau hilang sakit sekejap, kita terpaksa habiskan sisa hidup dengan mesin dialisis,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang suplemen, terutama produk yang tidak mempunyai kelulusan sah.
Baca juga:








