Dengan SARA saya dapat beli makanan kering, sangat membantu – Pelajar

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Bantuan Sara RM100 yang diperkenalkan menerusi inisiatif Kerajaan MADANI terus menerima maklum balas positif daripada orang ramai khususnya pelajar universiti kerana disifatkan mampu membantu menampung keperluan harian serta mengurangkan beban kos sara hidup.

Bagi Sara Aqira, 21, pelajar jurusan Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bantuan berkenaan digunakan sepenuhnya untuk membeli makanan dan barangan asas yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian.

“Dengan bantuan RM100 ini, saya dapat membeli makanan kering seperti biskut, susu dan makanan bertin yang boleh disimpan lebih lama.

“Ia sangat membantu terutamanya ketika perbelanjaan semakin meningkat dan jadual kuliah yang padat,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia Bangkit pada Ahad.

Menurutnya, sebagai pelajar, keutamaan perbelanjaan adalah untuk makanan dan keperluan asas yang mencukupi bagi memastikan kesihatan dan tenaga sentiasa terjaga.

“Saya cuba berjimat dan memilih barangan yang perlu sahaja. Bantuan ini sekurang-kurangnya membantu mengurangkan perbelanjaan harian dan membolehkan saya mengurus kewangan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Kaseh Najiha, 22, pelajar jurusan Bahasa Inggeris di universiti sama, berkata bantuan itu memberi manfaat dari sudut keperluan peribadi yang sering terlepas pandang tetapi amat penting.

“Selain membeli makanan, saya menggunakan bantuan ini untuk mendapatkan barangan penjagaan diri seperti sabun mandi, tuala wanita dan keperluan kebersihan lain.

“Barangan ini mungkin nampak kecil, tetapi sangat penting dalam kehidupan seharian pelajar,” ujarnya.

Dia berkata, bantuan itu sedikit sebanyak membantu pelajar perempuan yang mempunyai keperluan tertentu dan kos tambahan setiap bulan.

“Kos barangan keperluan asas semakin meningkat. Jadi bantuan seperti ini sangat membantu, terutama kepada pelajar yang bergantung kepada elaun terhad atau bantuan keluarga,” katanya.

Kedua-dua pelajar itu juga sependapat bahawa bantuan Sara RM100 bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi ketenangan kepada pelajar untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, bantuan ini sangat bermakna kerana ia dapat digunakan untuk membeli makanan dan barangan keperluan asas. Sekurang-kurangnya kami tidak terlalu risau tentang perbelanjaan harian,” kata mereka.

Mereka turut menyifatkan inisiatif Kerajaan MADANI itu sebagai langkah prihatin terhadap kebajikan pelajar universiti dan golongan muda.

“Kami berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang supaya lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaatnya.

“Ia secara tidak langsung membantu memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara,” kata mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat